Sunday, October 14, 2012

PPD PEKAN: DEKLARASI BIRAM






Sekolah Berprestasi Tinggi SK Seri Biram Pekan Pahang telah melakar sejarah tersendiri pada 11.10.2012 apabila 11 buah Pejabat Pelajaran Daerah dalam negeri Pahang yang masing-masing diwakili oleh Pegawai  Pelajaran Daerah masing-masing telah menandatangani  Deklarasi BIRAM iaitu akur janji setiap daerah untuk melaksanakan Program Tunas NILAM di daerah masing-masing. Program ini merupakan  Inovasi Program NILAM Pusat Sumber Sekolah Berprestasi Tinggi SK Seri Biram Pekan Pahang.

Pengisytiharan Deklarasi ini telah dibuat di hadapan Pengarah Pelajaran Negeri Pahang Encik Yahya bin Zainal Abidin bertempat di Bilik Gerakan SBT SK Seri Biram Pekan Pahang. Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, Ketua Sektor dan Ketua Unit Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang,Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Pekan , Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Pekan, Pegawai Teknologi Pendidikan Negeri Pahang dan Pegawai Teknologi Pendidikan Pusat Kegiatan Guru Bandar Pekan.

Lawatan kerja yang diketuai oleh Encik Yahya bin Zainal Abidin, Pengarah Pelajaran Pahang telah diisi dengan lawatan ke kelas pra sekolah dan melihat bagaimana aktiviti pembacaan dijalankan.   Program Tunas NILAM adalah cetusan idea daripada Puan Norafizah binti Abdul Razak, Guru Cemerlang Perpustakaan & Media,SK Seri Biram Pekan Pahang yang juga jurulatih utama Program NILAM Negeri Pahang. Program ini salah satu usaha memantapkan Program NILAM Tahap Rakan Pembaca di sekolah. Melalui program ini murid-murid yang telah membaca lebih dari 100 judul buku ke atas telah menjalani aktiviti kepimpinan dalam pembacaan di kelas pra sekolah pada setiap pagi Selasa dan Khamis sebelum aktiviti pengajaran dan pembelajaran bermula.

Peranan mereka bukan sebagai penganti guru di kelas pra sekolah,tetapi  membantu murid-murid pra sekolah menguasai kemahiran membaca dan seterusnya dapat membaca buku cerita di bawah  20 muka surat. Selain itu, program ini membantu murid-murid prasekolah lebih bersedia menghadapi pembelajaran apabila melangkah ke tahun 1.

Mulai 2013, Program Tunas NILAM di SK Seri Biram akan menggunakan modul bacaan  yang mengandungi perkataan Bahasa Inggeris dalam masa yang sama terus memantapkan pembacaan murid-murid dalam Bahasa Melayu.

Adalah diharapkan program ini dapat meningkatkan kualiti pendidikan di Negeri Pahang.


No comments:

Post a Comment