PROGRAM PPD TURUN PADANG :
Suatu Idea Praktikal Memperkasa PPD
Tepat jam 8.30 malam, 18 Julai 2012 bertempat di Pejabat Pelajaran Daerah Maran, En Yahya bin Zainal Abidin, Pengarah Pelajaran Pahang menjelaskan mengenai tujuan memanggil semua Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Pahang melalui program yang dinamakan “PPD Turun Padang”. Sambil mengucapkan tahniah atas komitmen semua PPD Pahang untuk meningkatkan prestasi pendidikan di daerah masing, beliau memberikan satu lagi inovasi untuk memartabatkan pendidikan di Pahang iaitu Program PPD Turun Padang. Di antara objektif program ini adalah;
a) Memberikan idea kepada semua Pegawai Pelajaran Daerah (Pahang) supaya merangka program peningkatan kualiti pendidikan daerah masing-masing.
b) Memberi pendedahan kepada semua Pegawai Pelajaran Daerah tentang proses untuk melahirkan sekolah cemerlang, guru besar cemerlang, guru cemerlang dan pelajar cemerlang.
c) Memberi pendedahan dan pengalaman langsung kepada semua PPD tentang kaedah belajar daripada mereka yang sudah berjaya atau sudah cemerlang.
d) Melaksanakan suatu kursus yang panjang dan memerlukan kos yang besar dalam masa yang singkat serta kos yang minima.
e) Memberikan motivasi dan keyakinan diri semua PPD bahawa semua daerah boleh cemerlang jika dapat bekerja dalam satu pasukan, mempunyai program kecemerlangan dan dilaksanakan dengan cemerlang.
Melalui program ini semua PPD akan dibawa meninjau sekolah-sekolah terpilih di daerah Maran dengan bantuan pegawai-pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah Maran. Sekolah-sekolah ini adalah sekolah-sekolah di pinggiran Sungai Pahang yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang serta telah meraih beberapa anugerah termasuk Tawaran Baru (New Deals). Di samping itu sekolah-sekolah ini juga mempunyai sentuhan peribadi beliau semasa bertugas sebagai pengetua dan PPD Maran serta telah berjaya membudayakan amalan membaca. Semua PPD dikehendaki memantau dan melihat proses yang berlaku serta impaknya ke ke atas prestasi peperiksaan dan aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Semua PPD dibahagikan kepada tiga kumpulan ( Kumpulan A, Kumpulan B dan Kumpulan C) serta ditetapkan pegawai pengiring dari Pejabat Pelajaran Daerah Maran. PPD Lipis (Hj Misnan b Hj Mohd Damin – Ketua), PPD Raub ( En Sudar b Kiman ) dan PPD Cameron Highlands ( Hj Basiron b Abdullah Hashim ) dikumpulkan dalam Kumpulan A.
Keesokan harinya (19.7.2012) adalah aktiviti pemerhatian dan pemantauan. Kami memulakan perjalanan seawal jam 7.00 pagi. Sekolah pertama yang kami lawati ialah SK Seri Sekamat, Maran. Fokus utama di sekolah ini adalah amalan membaca dan budaya guru penyayang. Guru Besar bersama GPK dan beberapa orang guru berada di pintu pagar utama menunggu dan menyambut serta mengalu-alukan kehadiran pelajar. Setiap orang murid yang melalui pintu utama akan bersalaman dengan Guru Besar dan guru-guru yang berada di situ. Jelas kelihatan pada wajah pelajar, mereka gembira kerana apabila kehadiran mereka dialu-alukan oleh Guru Besar dan guru-guru sekolah. Pada masa yang sama GB dan guru dapat bertegur sapa dengan ibu bapa pelajar yang menghantar anak mereka ke sekolah.
Gambar PPD Lipis 01- Pegawai Pelajaran Daerah (Kumpulan A) bersama pegawai pengiring serta GB dan Guru-guru SK Sri Sekamat dalam Program Bacaan Pagi
Gambar PPD Lipis 02- Pelajar sedang menjalani Program Bacaan Pagi di PondokmBacaan bersama guru
Situasi ini dapat meningkatkan kemesraan dan keakraban hubungan guru dan ibu bapa. Selepas bersalaman dengan guru, pelajar-pelajar ini akan bergerak menuju kelas masing dengan melalui satu garisan (laluan khas) yang telah ditetapkan oleh sekolah. Melalui kaedah ini, suasana sekolah amat tenteram dan teratur serta tiada pelajar yang berlonggok tanpa tujuan atau berborak kosong. Di samping itu pihak sekolah berjaya mengawal disiplin pelajar. Selepas meletakkan beg sekolah di meja masing-masing, pelajar-pelajar ini akan bergerak pantas ke lokasi-lokasi tertentu (luar bilik darjah) untuk mengikuti aktiviti Bacaan Pagi. Di antara lokasi tersebut ialah, lorong antara bangunan, tapak perhimpunan, kantin, pondok bacaan, taman bunga, tepi kolam ikan dan di bawah tangga. Setiap kumpulan terdiri daripada 5 hingga 10 orang pelajar bersama seorang guru yang telah ditetapkan. Semua guru sekolah ini terlibat dengan aktiviti ini. Setiap kumpulan juga dibekalkan dengan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian dengan keperluan mereka. Di samping meningkatkan amalan budaya membaca, aktiviti ini juga telah dimanfaatkan sebaiknya oleh guru untuk meningkatkan penguasaan 3M, meningkatkan keyakinan diri, motivasi, memperbaiki komunikasi serta merapatkan hubungan guru-murid. Aktiviti Bacaan Pagi ini hanya mengambil masa kira-kira 15 minit sahaja iaitu sebelum loceng
Gambar PPD Lipis 03- Pelajar bergerak di atas laluan yang telah ditetapkan oleh sekolah. Guru dan ibu bapa dapat melihat pergerakan pelajar /anak mereka terus ke kelas dengan selamat tanpa melencong ke tempat lain. Disiplin pelajar dapat dikawal dengan baik. (SK Sri Keramat)
sekolah waktu pertama berbunyi. Sebelum meninggalkan sekolah ini, kami menghadiah buku-buku untuk bacaan tambahan murid-murid sebagai cenderamata.
Gambar PPD Lipis 04 - Pelajar berkumpul di tapak perhimpunan bersama guru untuk Program Bacaan Pagi. En Sudar Kiman (PPD Raub) sedang bertanya sesuatu kepada seorang pelajar tentang bahan yang dibacanya.
Seterusnya kami di bawa untuk melawat SK Paya Pasir, Maran. Semua PPD dan pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Pahang serta pegawai pengiring berkumpul di sekolah ini serta menikmati minum pagi di kantin SK Paya Pasir, Maran. Kekuatan SK Paya Pasir terletak pada kantinnya yang berjaya menjadi kantin paling cantik, ceria, bersih, berinformasi, selesa serta menghidangkan makanan yang enak dan harga berpatutan di daerah Maran. Setiap sudut kantin di susun atur dengan tema tertentu serta dihiasi dengan hiasan yang cantik dan berwarna warni beserta informasi berguna kepada pengunjung. Antara maklumat yang terdapat kantin ini ialah maklumat berkaitan dengan makanan seimbang serta maklumat berkaitan penjagaan kesihatan atau cara hidup sihat. Kami semua berasa seronok berada di kantin sambil menikmati hidangan yang lazat. Gambar di bawah menunjukkan pemandangan kantin SK Paya Pasir, Maran.
Gambar PPD Lipis 05 - Jalan menuju ke kantin sekolah yang dihias indah dengan pelbagai hiasan dan maklumat berguna kepada pengunjung. Ia merealisasikan konsep kantin dalam taman, kantin berinformasi, kantin ceria, bersih dan sihat. (SK Paya Pasir, Maran)
Selesai menikmati sarapan pagi di SK Paya Pasir, kami di bawa ke lokasi berikutnya iaitu SK Chenor, Maran. Perjalanan ke SK Chenor melalui Pekan Sehari Chenor yang menyaksikan pelbagai barang dagangan hasil desa seperti sayur-sayuran, krf tangan, hasil ternakan, buah-buahan, makanan, pakaian serta hasil tangkapan nelayan Sungai Pahang. Fokus utama lawatan ini adalah untuk sesi pencerapan pengajaran dan pembelajaran serta Pembentangan Prestasi Kecemerlangan Sekolah di sekolah-sekolah yang terpilih. Sebaik tiba di lokasi dan diperkenalkan kepada Guru Besar, kami terus sahaja melawat bilik darjah untuk membuat pencerapan P&P. Kami sempat menyaksikan proses pengajaran guru dan pembelajaran murid (kira-kira 30 minit), menyemak Buku Rekod Persediaan & Pengajaran Guru, menyemak buku nota pelajar, menemu bual pelajar dan guru serta meninjau persekitaran sekolah.
Selesai proses pencerapan P&P kami di bawa ke Bilik Gerakan Sekolah untuk mengikuti Pembentangan Program Kecemerlangan Sekolah oleh Guru Besar SK Chenor dan SK Kuala Wau, Maran. Dalam pembentangan ini, Guru Besar kedua-dua sekolah menjelaskan bagaimana beliau membina pasukan, merancang aktiviti kecemerlangan serta menjalankan program peningkatan prestasi berdasarkan perancangan strategik yang telah dipersetujui oleh semua pihak di sekolah serta cabaran yang dihadapi. Dalam sesi ini komunikasi dua hala telah berlaku dengan baik. Pihak PPD telah bertanya banyak soalan berkaitan data dan pernyataan yang dibentangkan oleh Guru Besar. Soalan-soalan itu bertujuan memastikan proses yang dijalankan bagi menghasilkan data adalah betul dan sahih. Melalui perbincangan dua hala itu serta cadangan dan ulasan PPD ke atas program yang dijalankan telah berlaku satu perkongsian ilmu dan kemahiran yang sangat berguna kepada kedua-dua belah pihak. Pihak sekolah dapat memperbaiki segala kekurangan manakala PPD dapat membawa pulang idea bernas untuk dikongsikan kepada guru-guru di daerah masing-masing. Di sebelah petang selepas tamat proses pencerapan P&P, dilaksanakan pula pembentangan laporan oleh Ketua-ketua Kumpulan Pemantau kepada wakil Pengarah Pelajaran Pahang. Turut hadir dalam pembentangan ini ialah semua Guru Besar sekolah-sekolah yang dilawati. Kehadiran mereka adalah untuk mendengar maklum balas daripada PPD yang memantau sekolah mereka dan juga daripada PPD lain yang bertujuan untuk mengetahui kekuatan dan kurangan yang ada dan kemudiannya membuat penambahbaikan ke atas program mereka yang sedia ada. Dengan cara ini peningkatan secara berterusan (Kaizen) dalam organisasi dapat direalisasikan.
RUMUSAN
Sesungguhnya idea Program PPD Turun Padang adalah satu idea praktikal yang telah dizahirkan oleh Pengarah Pelajaran Pahang, En Yahya bin Zainal Abidin. Program yang bertujuan untuk mmperkasa seluruh PPD Pahang ini memberikan penekanan kepada pencapaian akademik serta proses pengajaran guru dan pembelajaran murid. Program ini amat singkat tempoh pelaksanaannya tetapi mempunyai impak yang besar iaitu idea untuk meningkatkan kualiti prestasi peperiksaan (UPSR) serta kualiti pendidikan secara keseluruhannya. Bagaimanapun, program ini memerlukan tindakan susulan serta komitmen yang tinggi daripada PPD serta semua pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah. Selain daripada memberikan pendedahan dan maklumbalas kepada pegawai-pegawai, PPD mungkin juga perlu membawa sekumpulan pegawai dan GB/guru untuk membuat lawatan penanda aras bagi melihat sendiri apa dan bagaimana sekolah-sekolah berkenaan boleh menjadi sekolah cemerlang. Seterusnya satu bengkel perancangan strategik perlu dilakukan yang bertujuan mengaplikasi atau menterjemahkan idea yang diperolehi ke atas program peningkatan kualiti pendidikan di daerah dan juga di sekolah.
Disediakan oleh:
Hj Misnan bin Hj Mohd Damin, AMP Pegawai Pelajaran Daerah Lipis
No comments:
Post a Comment